selamat datang

Followers

Monday 5 December 2011

Sistem Xplorasi


Asas Xplorasi PDF Cetak E-mail
Sistem Xplorasi dibangunkan berasaskan teori kerjaya Teori Typologi kerjaya yang dibina oleh John Holland (1985, 1973)

Teori Typologi Kerjaya Holland

Teori ini menerangkan tentang personaliti dan persekitaran kerja yang mementingkan kesesuaian personaliti dengan pekerjaan yang dilakukan oleh seseorang.
Dua perkara pokok yang diandaikan ialah:

1.      Manusia boleh dikategorikan mengikut keserupaannya kepada salah satu daripada enam jenis personaliti: Realistik (R), Investigatif (I), Artistik (A), Sosial (S), Enterprising (E) dan Konvensional (K), atau ringkasnya RIASEK. Semakin hampir seseorang itu menyerupai sesuatu jenis personaliti tertentu, semakin mungkin dia akan menunjukkan trait-trait peribadi dan tingkah laku yang dapat dikaitkan dengan jenis personaliti tersebut;

2.      Persekitaran tempat individu itu berada atau bekerja boleh dikategorikan berdasarkan keserupaan kepada salah satu daripada enam model persekitaran: Realistik (R), Investigatif (I), Aristik (A), Sosial (S), Enterprising (E) dan Konvensional (K) atau ringkasnya RIASEK. Mengikut pandangan Holand (1973, 1985a) , individu akan mencari persekitaran yang sesuai dengan ciri-ciri personalitinya supaya dia boleh menyatakan sikap dan nilai serta menunjukkan kebolehan dan kemahiran dalam persekitaran tersebut.
Terdapat hubungan yang rapat di antara jenis personaliti dengan persekitaran kerja. Bagi beliau, pemilihan sesuatu kerjaya merupakan suatu tingkah laku ekspresif yang mencerminkan motivasi, pengetahuan, personaliti dan kebolehan seseorang individu. Sesuatu pekerjaan itu juga menunjukkan suatu cara hidup, suatu persekitaran, lebih daripada suatu set fungsi dan kemahiran kerja yang berasingan. Misalnya, untuk menjadi tukang kayu, bererti seseorang individu itu bukan sahaja tahu menggunakan alat-alat, tetapi juga mempunyai kedudukan, peranan dan pola hidup tersendiri. Dalam hal ini, pemilihan sesuatu jenis pekerjaan menunjukkan beberapa jenis maklumat: motivasi dan pengetahuan tentang pekerjaan itu, wawasan dan pemahaman mengenai dirinya sendiri serta kebolehan-kebolehan yang ada pada dirinya.


Teori ini juga menganggap:
i.        Setiap orang mencari persekitaran  yang memberi peluang kepadanya menunjukkan kemahiran dan kebolehan, melahirkan sikap dan nilai serta bersedia menerima peranan dan masalah yang wujud dalam persekitaran  tersebut;

 
ii.      Tingkah laku seseorang itu adalah ditentukan oleh interaksi di antara jenis atau pola personaliti dengan ciri-ciri persekitarannya. Sekiranya jenis atau pola personaliti dan model persekitaran dapat diketahui, maka pada dasarnya ramalan terhadap hasil atau kesan dari kombinasi itu dapat ditentukan.


iii.    Di dalam diri seseorang atau persekitaran terdapat beberapa pasang jenis personaliti dan model persekitaran yang berdekatan di antara satu sama lain. Misalnya, jenis-jenis personaliti atau model-model persekitaran Realistik  (R) dan Investigatif  (I) mempunyai lebih banyak persamaan jika dibandingkan dengan jenis-jenis personaliti atau model persekitaran Konvensional  (K) dan Artistik (A). Demikianlah seterusnya dengan jenis-jenis personaliti dan model-model persekitaran yang lain. Jadi, ketekalan ini merupakan darjah pertalian yang berlaku di antara jenis-jenis personaliti  atau model-model persekitaran. Darjah ketekalan atau pertalian ini adalah diandaikan boleh mempengaruhi keutamaan dalam  membuat pilihan kerjaya oleh seseorang individu yang memiliki jenis personaliti Realistik  (R) yang paling menonjol dan jenis personaliti Investigatif (I) yang kurang menonjol  (Bererti individu itu mempunyai pola personaliti Realistik - Investigatif atau RI) akan lebih mudah untuk diramalkan mengenai dirinya daripada individu yang mempunyai pola personaliti Realistik – Sosial atau RS, kerana jarak perhubungan  antara keduanya yang jauh berbeza.


iv.    Sesetengah individu atau persekitaran adalah lebih ketara perbezaan jenis personaliti atau model persekitarannya dengan jenis personaliti yang lain. Misalnya, seseorang  individu mungkin lebih menonjol dalam satu jenis personaliti, dan agak kurang dalam jenis personaliti yang lain, atau satu persekitaran mungkin didominasikan sebahagian besarnya oleh satu jenis personaliti sahaja. Sebaliknya, sesorang individu yang mempunyai banyak jenis personaliti yang serupa atau sesuatu persekitaran yang dicirikan oleh keenam-enam jenis personaliti yang serupa, boleh dianggap sebagai tidak mempunyai perbezaan, mendatar dan kurang  menonjol.   Jadi darjah penonjolan satu-satu jenis personaliti  atau model persekitaran inilah yang dipanggil perbezaan. Semakin menonjol sesuatu jenis personaliti atau model persekitaran dengan jenis-jenis personaliti  atau model-model persekitaran yang lain, semakin berbezalah jenis personaliti atau model persekitaran itu (Holland, 1985a)


v.      Konsep identiti memberikan satu anggaran mengenai penonjolan dan kestabilan identiti seeorang atau identiti sesuatu persekitaran. Identiti diri dimaksudkan sebagai suatu gambaran yang jelas dan stabil mengenai matlamat, minat dan bakat yang dimiliki oleh seseorang individu.   Identiti persekitaran atau organisasi itu mempunyai matlamat yang sepadu, tegas, dan ganjaran-ganjaran yang jelas serta stabil sepanjang masa (Holland, 1985a).   Mengikut Holland  (1973, 1985a), identiti, ketekalan dan perbezaan, semuanya merujuk kepada kejelasan, definisi atau tumpuan konsep-konsep utama, jenis personaliti dan model persekitaran. Konsep identiti ini adalah konsep tambahan kepada konsep-konsep sekunder yang dinyatakan dalam teori Holland sebelumnya (Holland, 1985a, 1987).


vi.    Jenis personaliti yang berbeza memerlukan model persekitaran yang berbeza. Misalnya, individu yang mempunyai jenis personaliti Realistik  (R) akan bergiat cergas apabila berada dalam persekitaran Realistik (R) , kerana persekitaran seperti ini menyediakan peluang dan ganjaran yang diperlukan oleh individu Realistik (R), sebaliknya apabila individu yang sama ditempatkan di dalam persekitaran yang berbeza dengan jenis personalitinya, maka keadaan yang tidak kongruen akan berlaku di antara jenis personaliti dengan persekitaran tersebut. Ini disebabkan persekitaran yang berbeza itu akan menyediakan peluang dan ganjaran yang tidak diperlukan oleh individu berkenaan. Umpamanya, individu yang dimiliki jenis personaliti Realistik  (R) akan mengalami keadaan tidak kongruen apabila berada dalam persekitaran Sosial (S) Holland 1973, 1985a ).


Jenis-jenis personaliti seseorang individu dapat ditentukan dengan membandingkan ciri-ciri setiap model persekitaran yang ada. Oleh kerana jenis-jenis personaliti mempunyai minat dan sifat-sifat yang berbeza-beza, maka individu-individu akan mencari dan menceburkan diri dalam mana-mana ciri persekitaran yang paling kongruen dengan minat, kemahiran dan sifat-sifat yang ada pada dirinya ( Holland, 1985a ).Jenis-jenis personaliti anda boleh lihat pada entry sebelumnya.

ADMIN:
ASJ

No comments:

Post a Comment